Mari Mencuba JAVA GUI. Program hasil tambah dua nombor!!!

Friday 18 August 2017

Sesiapa nak cuba buat Java GUI menggunakan netbeans, anda boleh klik link ini.


SELAMAT MENCUBA!!!

PENGEMBARAAN DARI LUBOK ANTU, SRI AMAN KE KOTA KINABALU, SABAH MELALUI JALAN DARAT (Terlajak ke Kundasang, Ranau, Sabah)

Thursday 15 December 2016

PENGEMBARAAN DARI LUBOK ANTU, SRI AMAN KE KOTA KINABALU, SABAH MELALUI JALAN DARAT (Terlajak ke Kundasang, Ranau, Sabah)

Cuti Hari Depavali membuatkan aku, fuad dan masri merancangkan sesuatu. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan memberikan cuti panjang kepada golongan pendidik. Cuti yang bermula 28hb Oktober 2016 (Jumaat) hingga 1hb November 2016 (Selasa) cukup bagi kami untuk mengembara melalui jalan darat ke utara borneo. Pergi balik tau!!!

Brunei – Kota Kinabalu (abaikan peta sebab kami tidak ikut jalan laut – Feri)

Khamis petang (27.10.2016)

Bertolak dari Lubok Antu ke Sri Aman untuk menjemput Fuad. Lebih kurang jam 1500 kami pun bertolak dari Sri Aman ke Miri (sasaran). Niat kami untuk bermalam di Bekenu, Miri pada malam itu. Perjalanan kami ke Miri, Sarawak memakan waktu lebih kurang 9 jam. Kami melimpasi Bandar Sibu dan Bintulu. Kami berehat sebentar di Bintulu selama lebih kurang 30 minit untuk makan malam. Lebih 5 jam masa perjalanan Lubok Antu ke Bintulu. Kami makan malam di sebuah kedai makanan laut. Agak ramai pengunjung dan pilihan makanan, namun telah sedia maklum bahawa segalanya di Bintulu adalah mahal. Hidangan makan malam kami bertiga adalah berjumlah RM49.00. Telan air liur je la. Hahaha.

Kami meneruskan perjalanan ke Miri. Disebabkan aku pernah ke Miri, maka aku tidak mahu menulis lanjut perjalanan ke Miri. Kami sampai di Miri lebih kurang jam 11:00pm @ 2300. Kami bermalam di pekan Bekenu (rumah sahabat Masri) Apek yang merupakan tenaga pengajar di kawasan ini. Pertama kali kami sampai ke pekan Bekenu dan ketika itu pada waktu malam. Jadi, malas rasanya untuk bergambar sakan kerana terlalu letih di atas jalan raya. Agak menarik pekan ini dan kami pun terus ke rumah Apek untuk berehat dan bermalam. Aku mempunyai sahabat seperjuangan juga di SMK Bekenu namun tidak dapat bertemunya kerana si Taufik (nama kawan aku) pulang ke Johor ketika itu. Tanpa mandi dan membersihkan diri aku pun terlelap hingga ke pagi. J

Jumaat pagi (28.10.2016)

Perancangan awal bertolak Bekenu, Miri ke Kota Kinabalu adalah jam 8:00am namun disebabkan oleh halangan-halangan yang tidak dapat dielakkan, maka kami bertolak sedikit lewat (tidur tidak sedar diri). Lebih kurang jam 930am, kami mulakan perjalanan namun berhenti seketika untuk bersarapan di restoran mamak yang terdapat di bandaraya Miri. Perjalan Bekenu ke bandaraya Miri lebih kurang 1 jam sahaja. Jalan raya lurus dan baik menjadikan perjalanan ke bandaraya Miri begitu sempurna.

Jam menunjukkan lebih kurang pukul 1030am, kami pun memulakan perjalanan ke Kota Kinabalu. Sasaran pertama kami ialah memasuki Negara Brunei Darussalam. Ini adalah pengalaman pertama aku memasuki Brunei. Sebaik sahaja tiba di pos imigresen, segala urusan keluar Malaysia (Sarawak) diuruskan dan memasuki Brunei (tanah besar) dimulakan.

Seperti Negara-negara lain, kami perlu mengisi Borang Masuk Kenderaan.

Kami berhenti seketika di pos sempadan Brunei untuk melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan. Diingatkan kepada para pengembara supaya membawa bersama-sama dokumen-dokumen tersebut jika membawa kenderaan memasuki negara-negara jiran;

1.      Geran kenderaan
2.      Insuran not / Surat insuran / cukai jalan sah tempoh
3.      Passport antarabangsa pengembara
4.      Kad pengenalan
5.      Surat kebenaran membawa kenderaan (jika bukan pemilik)
6.      Surat kebenaran Ketua Jabatan (Jika penjawat awam)

Kesemua di atas itu adalah cadangan untuk dibawa bersama jika berlaku apa-apa halangan dan ia tidak semestinya perlu diutarakan kepada pihak imigresen/kastam Brunei.

Aku di pos imigresen Negara Brunei Darussalam

Daripada sudut pemerhatian aku, kelihatan suasana di pos sempadan Malaysia – Brunei ini, tidaklah terlalu sibuk seperti di pos sempadan Malaysia (Johor) – Singapura. Struktur bangunannya pun tidaklah kelihatan moden. Bagi aku ia biasa sahaja. Cukup untuk menguruskan kenderaan / manusia yang keluar masuk Negara Brunei ini.

Perjalanan di bumi Brunei Darussalam


Perjalanan di Brunei

Sebaik sahaja memasuki Negara Brunei Darussalam ini, kelihatan begitu tenang sekali. Mungkin disebabkan kepadatan penduduk di Negara ini adalah rendah.


Satu-satunya tol yang dilalui sepanjang pengembaraan ini. B$3.00.

Jika sesiapa yang ingin melimpasi Negara Brunei ini tidak menukar not ringgit Malaysia kepada ringgit Brunei, jangan risau. Ini kerana, tol ini juga menerima not ringgit Malaysia. Kita perlu membayar RM10.00 menggantikan B$3.00. Mereka menerimanya. Sebab itu dalam pemerhatian aku, tiada pun ‘Money Changer’ di sekitar sempadan Sarawak – Brunei. Amat berbeza jika dibandingkan dengan kawasan sekitar Johor Bahru (Malaysia) – Woodland (Singapura) yang mana terdapat banyak syarikat dan kiosk-kiosk tukaran wang asing.

Jalan Raya /  Lebuh Raya di Brunei Darussalam

Secara umumnya, jalan raya di Negara Brunei ini adalah bagus. Lebuh rayanya juga (yang kami lalui – perjalanan pergi) lebih kurang lebuh raya di semenanjung Malaysia.  Namun, jika dinilai dari segi sistem dan kualiti, aku lebih memberi kemenangan terhadap lebuh raya di Malaysia (PLUS).  Bezanya mungkin bayaran yang dikenakan oleh PLUS adalah tinggi.

Memandangkan waktu perjalanan ini adalah hari Jumaat dan telah masuk waktu solat Jumaat, kami pun berhenti di salah satu perhentian (macam R&R di Malaysia). Perut kami juga agak lapar dan tempat kami berhenti untuk solat jamak qasar ada restoran makanan segera KFC dan ia merupakan berkongsi premis dengan stesen minyak Shell. Cuma blok surau sahaja berbeza bangunan. Apa yang menariknya, surau perhentian / surau di petrol pam mempunyai ruang solat yang memadai serta dilengkapi PENGHAWA DINGIN!. Sejuk walaupun tengahari. J Selain itu, waktu solat Jumaat, semua premis perniagaan termasuk pam minyak ditutup sehingga jam 1430 (2:30pm). Mana yang kurang minyak tu, perlu tunggu sehingga waktu itu untuk memenuhkan tangki kereta masing-masing. Berkaitan dengan harga minyak, memang agak murah di Brunei. Tidak sempat untuk mengambil gambarnya, seingat aku harga seliter ialah B$0.54 bersamaan dengan RM1.65 (15 November 2016). Waktu ini matawang Malaysia sangat rendah nilainya iaitu USD1.00 = RM 4.32 dan B$1.00 = RM3.05.

Antara perkara menarik lain yang terdapat sepanjang perjalanan melimpasi bumi Brunei ialah setiap ‘signboard’ papan tanda mesti mempunyai tulisan jawi. Kedudukan tulisan jawi mesti di atas perkataan rumi @ perkataan-perkataan dalam bahasa lain. Banyak juga papan tanda menyatakan/mempromosi “Berbanggalah menggunakan Bahasa Melayu” dan “Bahasa Melayu Bahasa Rasmi Negara”. Ketegasan ini sangat menyeluruh (waktu solat jumaat & papan tanda jawi) tidak kiralah kedai apa pun semua turut mematuhinya. Daripada kedai-kedai kecil sehinggalah KFC, McDonald semuanya ditulis dalam tulisan jawi di atasnya.


 Limpasi Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam

Limbang, Sarawak dari Pos Kuala Lurah, Brunei

Kami pun memasuki Limbang, Sarawak. Anggapan aku Limbang adalah sebuah Bahagian yang biasa-biasa sahaja kerana ia berada di celah-celah Brunei. Namun jangkaan itu meleset sama sekali. Limbang bagi aku lebih besar daripada Bandar Bahagian Sri Aman. Semua kemudahan terdapat di sini. Apa yang mengejutkan ialah Tomyam tersedap yang pernah aku rasa di Sarawak adalah di sini. Memang puas hati hasil daripada ‘recommendation’ rakan yang tinggal di sini. Pandangannya pun cantik kerana kedudukan kedainya berada di tepi sungai Limbang. Musbee Café nama diberi, memang tempat lepak geng-geng semenanjung di kedai ini kerana masakannya boleh tahan sedap.


Persisir Sungai Limbang (Berhadapan dengan Restoran Musbee Café

Kami hanya berhenti makan sahaja di Limbang dan selepas itu, kami terus sahaja meneruskan perjalanan. Gambar di bawah ini merupakan pos kawalan memasuki Negara Brunei semula. Itulah gambaran pos kawalan imigresennya.

Pos Kawalan Ujong Jalan, Temburong, Brunei (Limbang – Brunei)

Sempadan Sarawak – Sabah

Keluar sahaja dari Brunei, dari Lawas, Sarawak kami meneruskan perjalanan memasuki Sabah dan langsung ke Kota Kinabalu, Sabah (KK). Waktu dah lewat dan perlu sampai ke KK sebelum tengah malam. Setelah sampai ke KK, kami ‘check-in’ hotel di kawasan Kampung Air. Tidak begitu bagus sarapannya kerana menunya tidak begitu menarik dan masakan juga kurang enak. Keesokannya kami merancang untuk ke hotel lain yang tiada berserta sarapan pagi.

Kami di Kota Kinabalu, Sabah

Keterujaan aku di KK ini tidaklah begitu tinggi. Mungkin kerana aku telah mengembara ke bumi barat Sabah ini sebelum ini (November 2013). Ketika itu aku telah mengembara sehingga ke Ranau (Poring, Kolam Air Panas yang mesti anda kunjungi). Jadi mungkin aku hanya teruja untuk mengikuti trip jalan darat Sarawak – Sabah sahaja.

Semasa di KK, kami telah melawati beberapa tempat tumpuan pelancong juga lokasi-lokasi makanan laut yang istimewa. Itu lah sasaran kami. Antara tempat-tempat yang sempat kami lawati antaranya Kundasang, Rumah Terbalik (lupa nama tempat itu), kandang lembu dan beberapa tempat lain yang aku sertakan momennya di bawah ini. Di Sabah ini, jika ingin memburu makanan laut, memang banyak tempat yang menarik. Namun tidak semua masakannya sedap. Ada tempat juga terlalu mahal dan bagi aku sangat tidak masuk akal. Namun kelihatan tempat itu penuh dengan lautan manusia menikmati makanan laut segar. Bagi sesiapa yang mempunyai wang yang melimpahruah boleh la cuba. Tapi kami hanya mampu singgah dan cuci mata sahaja. Makanan yang sedap kami perolehi adalah di lokasi seperti yang kami nyatakan di bawah ini. Sangat berbaloi dan mampu.


Kundasang, Sabah
(Ketika ini tersangat sejuk kerana hujan renyai-renyai. Ambil wuduk macam pakai air batu!!!)

Kandang Lembu (susu segar, terdapat juga sosej yang dijual dengan harga RM4.00++ secucuk besar)

Ada lirik lagu nama Jambatan Tamparuli

Kebetulan ada pelancaran BORNEO SAFARI, Malaysia berdekatan lokasi kami menginap.

Rumah terbalik – aku tidak masuk pun kerana kurang berminat untuk masuk J


Rockers Sabah – ketika ini memang sedang ‘hot’ panggung dengan filem ‘Rock Bro’ arahan Mamat Khalid.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) – ini adalah antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia selepas KLIA.

Lokasi makanan pada malam kedua. Berada di kawasan Pasar Pilipin. Banyak tempat lain yang kami pergi, namun lokasi inilah yang paling bagus dan rasanya boleh dikatakan sedap dan mampu. 100gm hanya RM3.00 (murah berbanding tempat lain 100gm cecah RM50.00++


Satu perkampungan di KK. Terdapat pelbagai aktiviti air dijalankan di sini. Agak menarik namun waktu ini kami pulang ke Sarawak. Lambat kami ketahui.

Terdapat satu tempat (restoran) yang aku lawati dan menikmati sarapan pagi mempunyai kelainan dan keunikan yang tidak pernah aku temukan sepanjang hidup aku. Apakah ia? Ia adalah sistem pengendalian pesanan kedai restoran itu. Apa yang menariknya ialah restoran itu menggunakan sistem ‘queuing’ seperti yang kita biasa jumpa di bank-bank, pejabat pos dan sebagainya. Sistem giliran elektronik. Unik bukan? Bagi aku memang unik. Aku melihat kebanyakan perniagaan sekarang ini adalah memang pelanggan yang menguruskan pesanan. Tiada lagi layanan pembantu restoran. Mereka hanya perlu menyediakan makanan ke tempat yang ditetapkan dan pelanggan sendiri yang akan mengambilnya lalu ke kaunter untuk bayar.

Pulang ke Gagang.

 Aku tidak akan menulis panjang pejalanan pulang. Ia melalui jalan yang sama. Cuma pengalaman sahaja yang sedikit berbeza. Kami merancang untuk melawati suasana bandar Bandar Seri Begawan (BSB) dan melihat pemandangannya di waktu malam. Aku akan lampirkan sedikit suasana di BSB sebelum kami keluar Brunei pada malam yang sama juga.

Sempadan Sabah – Sarawak.



Banyak masjid yang begitu cantik dan indah di Negara Brunei Darussalam.

Ruang wuduk (automatik air keluar apabila tangan dihulur).



Sungguh indah masjid ini. Kami melaksanakan jamak qasar di sini sebelum terus pulang ke Sri Aman, Sarawak.

Sebelum menutup cerita berkaitan dengan pengembaraan ini, aku bersahaja ingin berkongsikan dengan semua pembaca tentang beberapa perkara di Negara Brunei Darussalam ini yang masih aku ingat semasa menulis artikel ini. Antara keunikannya yang berbeza daripada suasana negara kita adalah dari sudut kesibukan masyarakat negara itu, dari sudut automotif, dari sudut infrastruktur bangunan dan beberapa sudut lain. Tempat kami solat di perhentian (tepi lebuhraya) tiada kipas. Hanya ada ‘aircond’ yang berfungsi dengan baik. Syok kan?. Hehe. Semasa tempoh solat Jumaat, semua aktiviti perniagaan tutup termasuk petropam. Tunggu sehingga jam 1430 kalau hendak isi minyak petrol ya. Soal tulisan jawi dan Bahasa Melayu, memang sangat diangkat serta dilaksanakan dan dikuatkuasakan di mana-mana sahaja di bumi Brunei. Berkaitan dengan pemilikan rumah dan kenderaan, aku rasa warga Brunei tidak mengalami masalah itu. Kelihatan di tepi-tepi jalan Brunei tersergam indah rumah-rumah (sebiji-sebiji) berserta kereta yang diparkir setiap rumah sekurang-kurangnya 3 buah kereta!!!. Kurang kelihatan rumah-rumah teres (macam taman-taman perumahan di Malaysia) namun ianya ada. Kawasan rumah seperti itu adalah bantuan penuh kerajaan untuk golongan muda Brunei. Mungkin harga kereta juga adalah rendah di Brunei kerana kelihatan jenis-jenis kenderaan di jalan rayanya semuanya kenderaan yang boleh dikira mahal-mahal di Malaysia. Tidak dinafikan terdapat banyak cukai kerajaan Malaysia terhadap industri automotif. Tentang ‘mat rempit’, tiada langsung kelihatan!!!. Hahaha. Aku tidak pernah sekali pun kelihatan dua roda di jalan raya Brunei kecuali sekali sahaja. Itu pun Ducati!!!. Tiada motocup. Namun tetap ada sekatan jalan raya. Pernah sekali kami di tahan di sekatan jalan raya semasa ingin menuju ke BSB. Nombor plat kereta yang kami naiki berpangkal hurub B iaitu sama dengan nombor plat di Brunei. Namun setelah dijelaskan, maka mereka akur dan membenarkan perjalanan kami ke BSB. Apa yang kurang menariknya negara itu adalah tidak ramai penduduk (populasi di Brunei tidak sampai 500,000 orang). Jadi tidak kelihatan bandar-bandar dan pecan-pekannya sibuk dan sesak. Mungkin disebabkan itu juga kurangnya kegiatan perniagaan dan perdagangan dalam negeri. Apa-apapun, setiap tempat pasti mempunyai keunikannya yang tersendiri. Aku tetap bangga menjadi warganegara Malaysia. Alhamdulillah.

Tamat.

Tempat Makanan Laut Istimewa di Kuching, Sarawak, Malaysia

Wednesday 10 August 2016

Aku nak ambil kesempatan ini untuk berkongsikan tempat makanan laut yang istimewa di Kuching Sarawak. Sepanjang aku berkhidmat di bumi kenyalang ini, baharu ini pertama kali aku menjejakkan kaki ke tempat ini. Memang MENGAGUMKAN. Bagi aku, memang berbaloi makanan-makanan laut di sini dengan nilai wang yang dibelanjakan. Rakan pengembaraan aku, Cai akan mengulangi mengunjungi tempat ini suatu hari nanti untuk menjamah makanan yang belum pernah kami cuba. Apa nama tempat ini?

TOP SPOT SEAFOOD

Haa ini la tempatnya. Sesat pertama kali kami di tempat parkir di bangunan ini. Sehinggakan pengawal keselamatan menunjukkan kami tempatnya. Unik. Tempat ini berada di tingkat atas bangunan ini. (lupa pula arasnya - ada tulis kat lift). Lihat suasana kawasan medan selera Top Spot ini, penuh dan padat. Walaupun ramai pelanggan, kualiti dan kebersihan tempat ini sangat dipuji. Kami berpuas hati, Seorang lebih kurang RM40 seorang, aku dan cai puas makan makanan laut dan kami berpuas hati. Menu yang kami makan adalah nasi putih, umai obor-obor, ikan merah masak stim, telur dadar, sayur baby kailan ikan masin, sotong goreng tepung dan lupa pula yang lain. Minuman jus yang kami pesan juga segar dan puas hati, Sangat pekat dan istimewa. 



Lihatlah menu yang kami pesan. SEDAP, NYAMAN, NYAMAI, NYUM NYUM NYUM. Sambung nanti. :)

Pengembaraan Meneroka Jalan Lintas Sungai Di Sarawak Pusa, Bahagian Betong - Kota Samarahan, Bahagian Samarahan

Thursday 5 May 2016

Cuti Hari Pekerja, 1 Mei 2016 jatuh pada hari Ahad. Maka, cuti itu dianjakkan ke hari Isnin. Jadi, bermulalah kisah pengembaraan ini. Lama sudah rasanya tidak mengemaskini pengalaman dalam blog ini. Walau hakikatnya banyak yang aku lalui dan pelajari. Nantilah akan aku coretkan untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman lain satu persatu. 

Pengembaraan 2 hari ini bermula pada hari Sabtu 30 April 2016. Pada hari itu, perancangan awal aku adalah mengikuti seorang sahabat berbangsa Bidayuh untuk ke hulu Batang Ai. Objektif utama adalah memburu rusa. Namun di sebabkan oleh hujan lebat membadai bumi Lubok Antu, aku mengambil keputusan untuk tidak turut serta. (Sebenarnya terlalu sejuk jika di ulu dan airnya mesti deras). Jangkaan. Panas khabarnya di ulu.

Perancangan aku untuk mengisi masa cuti ini adalah menjelajah dan menimba pengalaman menggunakan feri untuk melintasi beberapa sungai yang besar di Sarawak. Antaranya adalah Batang Saribas, Batang Lupar, Batang Sadong dan Batang dan Sungai Sabang. Jangan pelik dengan perkataan Batang itu. Itu adalah seperti istillah Sungai di Sarawak. 

Lihat pelan perjalanan di bawah ini. Itulah yang aku akan lalui bersama dengan sahabat iaitu Cai dan Masri. Laluan garisan merah di dalam kotak kuning itu adalah laluan yang kami jelajahi.

Rajah 1: Pelan Pengembaraan

Tepat jam 0700, si Cai ini pula lambat. Apa-apa perancangan pun memang aku suka laksanakan awal atau sampai lebih awal. Supaya ada la masa untuk berehat dan santai. 0720 muncul Yamaha LC merah ber 'sport rim' putih. Haa, tanpa membuang masa, kami pun meluncur ke Bandar Sri Aman. Kali ini perjalanan kami akan menggunakan Kancil 660 aku sahaja. Aku yakin dengan mesin kancil kali ini sebab baharu sahaja lepas menukar banyak bahagian enjin yang rosak. Alternator, Radiator, Belting, Contact Point dan apa-apa lagi nama bahagiannya.

Sampai di Sri Aman, kami bersarapan dan menunggu rakan seorang lagi (Masri) untuk bersama-sama kami. Untuk kali kedua si Masri ini akan lalui jalan pengembaraan ini. Dalam lingkungan 0930 kami pun mula menuju ke Pusa. Sebuah Pekan kecil di Bahagian Betong, Sarawak.

Rajah 2: Sampai di Pusa, Bahagian Betong, Sarawak

Persinggahan kami di Pusa tidak lama. Selepas satu pusingan di kawasan pekan ini, kami terus ke pangkalan / jeti Pusa ke Taman Negara Maludam. Kami akan melintas Batang Saribas bersama-sama Alphard Mini (kancil) aku.

Rajah 3: Suasana menaiki kapal pengangkut melintasi Batang Saribas.

Perjalanan melintasi Batang Saribas ini tidak lama. Lebih kurang dalam 10-15 minit sahaja. Tidak terfikir untuk mencatatkan tempoh perjalanannya. Maaf ya. Pengalaman pertama agak mengujakan. Juga memeranjatkan adalah harga tiket mengangkut kenderaan. Hanya RM1.00 sahaja untuk kereta, motosikal dan orang tanpa kenderaan adalah PERCUMA.

Setibanya di Maludam, kami meneruskan perjalanan untuk melintasi sungai terlebar di Sarawak iaitu Batang Lupar. Suasana di Maludam adalah seperti suasana kampung-kampung. Menurut sumber, majoriti penduduk di sini adalah penduduk berketurunan Melayu. Selain itu, kelihatan struktur tanah di tepi-tepi jalan adalah tanah gambut / tanah delta. Mungkin kerana itu, struktur jalan dari tebing kami turun hingga ke tepian Batang Lupar adalah berombak. Namun begitu, sepanjang perjalanan itu adalah melalui jalan yang berturap.

Rajah 4: Setibanya di simpang Taman Negara Maludam.

Kami bernasib baik kerana tiada pun waktu menunggu untuk menyeberangi sungai akibat banyak kenderaan yang mahu menyeberang. Setibanya ke tebing, mesti akan terus masuk ke atas kapal.

Rajah 5: Menyeberangi Batang Lupar.

Bagaikan lautan, itulah istillah yang aku gunakan sebaik sahaja menikmati keindahan luas dan lebarnya sungai ini. Sungguh menakjubkan ciptaan Allah SWT. Belum termasuk ciptaan Yang Maha Kuasa di ulu-ulu sungai, di hutan-hutan belantara. Tidak tercapai akal aku kadang-kadang. Kelihatan haiwan sungai yang timbul dan tenggelam serta melompat di permukaan air sungai, namun aku dan Masri tidak dapat mengenalpasti haiwan apakah itu. Berwarna hitam pekat, panjang dan lincah. Sampai hari ini aku masih mencari jawapan. BUAYA??? pasti ada di sini!!!!

Seterusnya kami terus ke tebing sungai untuk melintas Batang Sadong pula untuk ke Asajaya.

Rajah 7: Kapal pengangkut kenderaan berlatarbelakangkan Jambatan Batang Sadong.

Rupa kapal yang membawa kenderaan dari pandangan tepi. Menurut papan tanda projek, jambatan ini akan dapat digunakan pada Julai 2016. 

Rajah 6: Pekan Asajaya.

Setibanya di Asajaya, terjumpalah kami dengan tempat yang agak menarik. Lihat gambar di atas. Kawasan pekan ini sangat meriah dengan poster-poster dan bendera bendera kempen parti-parti politik tempatan. PRN Sarawak bakal berlangsung pada 7 Mei 2016 ini.

Setibanya di tebing sungai Asajaya ini untuk ke Kota Samarahan, kami tidak dapat meneruskan perjalanan menyeberangi Sungai Sabang. Ini kerana kami tiba di situ pada waktu petang. Ketika itu air sungai surut. Maka kami terpaksa mengikut jalan darat (jauh) untuk ke Kota Samarahan. Tamatlah penjelajahan kami kerana apabila berada di Samarahan, kami lanjur ke bandaraya Kuching, makan malam di tempat kegemaran aku (nasi kambing seberang sungai sarawak) (Barok Village) dan selepas itu, kami terus pulang ke Sri Aman. Sekian.

Pengembaraan / Melancong ke bandaraya Miri dari Daerah Lubok Antu, Bahagian Sri Aman.

Saturday 4 July 2015


Cuti 5 hari bermula 19 Februari – 23 Februari 2015 membuatkan aku memilih bandaraya Miri untuk dilawati. Ia antara impian sebelum aku dapat kembali pulang bertugas di kampung halaman. Setelah setahun berada di Sarawak ini, antara tempat-tempat yang telah dilawati adalah Sibu, Kapit, Kuching, Serian, Bau, Bintulu dan beberapa tempat-tempat kecil yang lain. Kali ini, kita lancar ke utara Sarawak untuk menghirup udara Bandaraya Miri.

 
Cai dan Bujal di hadapan Perhentian Bas Lubok Antu.

Bagi yang asing dengan pekan Lubok Antu (LA), di atas itu aku tunjukkan gambaran ‘busstand’ LA. Kecil sahaja tetapi ia tetap sibuk sebagai tempat tumpuan terutamanya bagi mereka yang hendak ke selatan dan utara Sarawak atau pun ke Badau, Indonesia. Untuk ke Indonesia, tiada bas yang memberikan perkhidmatan itu. Pengunjung atau penumpang yang ingin ke Indonesia hanya akan turun di sini dari utara dan selatan Sarawak dan kemudiannya menaiki kenderaan persendirian untuk masuk ke sempadan / perbatasan Malaysia Indonesia.

Berbalik kepada misi kita untuk ke bandaraya Miri, mari kita lihat bas yang akan aku naiki. Kali ini orang yang akan menemani aku untuk menjelajah Miri adalah Cai. Lihatlah en. Cai bergambar dengan bas Borneo Bas. Harga tiket? Hanya RM70.00 sehala. Jadi pergi dan pulang Lubok Antu ke Miri, Miri ke Lubok Antu adalah RM140.00. Bas yang akan kami naiki ini agak selesa dan tidaklah berasa jauh perjalanan itu. Untuk pengetahuan semua, bas ini akan berhenti di setiap perhentian bas daerah-daerah / bahagian-bahagian utama di Sarawak antara LA – Miri. Antara perhentian bas yang aku ingat ia berhenti adalah perhentian bas Sarikei, Sibu, RNR Selangau, Bintulu, RNR Batu Niah dan Miri. Begitu juga perjalanan pulang.
 
Cai dan Borneo Bus

Perjalanan bas dari LA ke Miri adalah pada jam 900 pagi. Jangkaan sampai ke destinasi adalah pada jam 2000 atau 2100 di malam hari. Lebih kurang 12 jam. Tetapi pemandangan di setiap perjalanan sangat menarik. Terdapat kampung-kampung, rumah panjang, Bandar dan pekan-pekan dan sebagainya.

Kami bertolak tepat jam 900 pagi dan gambar di bawah ini adalah tempat pertama bas yang kami naiki berhenti. Mereka akan membeli makanan minuman dan juga membuang air. J


 
Pemandangan diambil daripada jendela bas.

Saya tidak membeli apa-apa makanan kerana tidak meyakini tahap halalnya. Jadi aku hanya turun untuk ke tandas sahaja.


 

Suasana di Bandar Sibu (kawasan Perhentian Bas Sibu)

Kami sampai di Sibu pada waktu tengah hari. Cuaca cerah dan perut pun lapar. Kami pun turun berkeliaran mencari kedai makanan halal. Berpusing-pusing lalu kembali semula ke kawasan perhentian bas. Terdapat di dalam kedai makanan cina, terdapat 1 gerai makanan Islam. Jadi kami pun menjamu selera di situ. Nasi ayam penyetnya sedap juga. Oleh kerana terlalu lapar, memang semuanya sedap. 30 minit diberikan oleh pemandu bas untuk menjamu selera sebelum meneruskan perjalanan pada kira-kira jam 1330pm.

Kami sampai di Miri kira-kira jam 2100 malam. Kami berhenti di tepi jalan sahaja kerana kawan DPLI UTM aku dahulu mahu menjemput kami. Udara ketika itu berkabus. Rasa kurang selesa dengan udara bandaraya Miri berbanding udara LA.

Lee pun membawa kami bersiar-siar dahulu di bandaraya Miri. Melihat raut wajah Lee yang semakin berisi, maka aku pun menegur dia. Dengan wujudnya kedai-kedai makanan yang pelbagai menyebabkan dia mengembang. Hehe

Mari kita lihat suasana bandaraya Miri dari lensa DSLR aku.

 
Sekitar suasana malam bandaraya Miri

Sejurus kami pergi membeli sedikit barangan di 7-eleven, kami pun mencari kedai-kedai makan untuk disinggahi. Berbunyi sudah perut tidak sabar untuk merasa masakan orang Miri. Dengan kemeriahan yang menjelma dikala malam, semakin meriah jadinya. Kami pun singgah di sebuah kedai  makan. Banyak juga menu disediakan namun aku memilih untuk memesan roti john miri di gerai jualan yang berada dihadapan restoran tersebut.

Hotel baget tempat kami duduki

Untuk tidak melepaskan peluang sementara Lee ada kenderaan bagi membawa kami bersiar-siar di bandaraya Miri ini, aku pun cepat-cepat makan. Setelah selesai, terus aku mempelawa Lee untuk beredar. Lee pun membawa kami ke tempat-tempat yang boleh dilawati ketika waktu malam.  Namun sebelum itu, kami dibawa ke tempat penginapan dahulu. Eloklah kiranya aku dan cai mandi dahulu. Baharu segar sikit. Pusing punyalah pusing semua hotel-hotel sekitarnya penuh. Tropical Inn sahaja yang ada bilik kosong. Mahu tidak mahu, kami ‘check-in’ disini. Namun begitu, bukan bangunan yang dipaparkan di atas itu kami diami, tetapi sebuah lagi blok bangunan bersebelahan bangunan ini. Bedal jela asalkan kami ada tempat untuk menginap. Jika tidak salah, semalam menginap di hotel ini adalah RM60.00.

Setelah mandi, lokasi pertama yang dibawa oleh Lee adalah ‘The Grand Old Lady’. Lokasi ini adalah lokasi penerokaan minyak yang pertama di Malaysia. Mengikut apa yang aku baca, planta minyak tempat ini telah dibina sebelum Malaysia merdeka lagi. Sungguh banyak fakta dapat diperolehi daripada lawatan ke tempat ini kerana banyak menceritakan tentang kisah industri dan pendapatan utama Negara kita iaitu emas hitam.
Bandaraya Miri daripada perspektif Bukit Kanada (Canada Hill)

Aku bersama Lee berlatarbelakangkan bandaraya Miri
‘The Grand Old Lady’ monumen

Mari kita cerita sedikit berkaitan dengan Bukit Kanada ini. Disunting melalui ‘wikipedia’

“"The Grand Old Lady" ialah gelaran bagi Telaga Minyak Miri yang juga telaga terawal ("Oil Well No. 1") di Miri yang kini dijadikan tarikan pelancong terkenal, ditubuhkan pada awal 1900-an kerana sumber minyaknya. Telaga minyak ini terletak di atas Bukit Telaga Minyak, atau dahulunya dipanggil Bukit Kanada (Canada Hill) (mengikut cerita orang tua, suatu ketika dahulu, terdapat seorang kulit putih warga Kanada yang pernah tinggal di sana yang bekerja mencari pekerja tempatan dan asing untuk bekerja di lapangan minyak di sekeliling bukit tersebut). Oil Well No. 1 didirikan oleh Syarikat Shell pada tahun 1910. Setelah enam dekad menghasilkan kira-kira 660,000 tong minyak, akhirnya telaga ini ditutup pada tahun 1972, yang seterusnya diisytiharkan sebagai sebuah monumen kebangsaan.
Sebelum itu, pernah wujud sebuah menara pengawasan berdekatan monumen ini di mana para pengunjung boleh melihat pemandangan bandaraya Miri dengan berlatarkan Laut China Selatan sebagai kaki langitnya (horizon). Menara itu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Muzium Sains Petroleum Miri dan kini diganti dengan platform pemandangan yang disediakan di atas bangunan ini. Muzium ini juga mempunyai tarikan tersendirinya yang menawarkan pelbagai jenis pameran berkaitan dengan industri minyak, sinonim dengan gelaran bandaraya ini, Miri Oil Town (Bandar Minyak).”

Mari lihat lensa DSLR aku persekitaran ‘The Grand Old Lady’
Berhadapan Muzium Petroleum. (Tidak dapat masuk, malam tutup)

Membaca monumen sambil disuluh Lee. :P

Biar orang hendak cakap apa, orang tolak aku tarik, pedulilah…hehe

Telaga Tradisional

Sibuk mentelaah ilmu yang tiada dalam buku teks sekolah. Lapangan-lapangan penggalian minyak di seluruh Malaysia

 “No Caption”

Itu sahaja lawatan aku, cai dan lee di The Grand Old Lady. Kami pun bergerak turun ke Bandar Miri untuk sambung meronda. Walaupun keadaan menunjukkan titisan embun mencair daripada wap kepada cecair, tentu terasa keletihan. Lee juga perlu pulang kerana isterinya tinggal seorang di rumah ditengah-tengah suasana mala mini.

Aku dan cai pun meneruskan penerokaan suasana malam di bandaraya Miri. Habis seluruh pelusuk pusat Bandar Miri aku redahi. Jom lihat aksi-aksi yang jangan ditiru di bawah ini.
 Nama pun malam, pastinya sepi dan tiada kenderaan. Jadi, mari bergambar di tengah-tengah jalan.

Mural di tengah-tengah bandaraya Miri

Sambung terapi telinga sebelum pulang merehatkan diri
Menikmati cahaya-cahaya yang menyinari bandaraya Miri semasa perjalanan pulang ke hotel.

Kami pun mandi dan berehat sementara menunggu hari esok untuk pulang semula ke Lubok Antu. Jauh di lubok hati aku, aku berasa puas kerana telah sampai di bandaraya yang jauhnya mengambil masa lebih 12 jam perjalanan.

Hari kedua kami di bandaraya Miri ini, pastinya terus check out dan bersiar-siar mencari lokasi sarapan yang baik. Pada hari ini, kami tiada pengiring atau pemandu pelancong tempatan. Tiada kawan-kawan aku yang tinggal di Miri dapat menemani kami bersiar-siar atas masalah-masalah tertentu. Kami yang tiada kenderaan semestinya sedikit terbantut. Aku ingin menjejakkan kaki ke Gua Niah yang semestinya tempat mesti dilawati jika melancong ke Miri. Namun atas faktor ‘transport’ kami pun ronda-ronda kawasan sekitar sahaja.
Sekitar kawasan inilah (parkson) tempat kami berpusing-pusing seharian sementara menunggu waktu pulang.

Atas nasihat warga tempatan, inilah tempat aku dan cai bersarapan. Rasanya boleh tahan lah. Asalkan kenyang je. J
Nikmatnya dan tenangnya ‘kena’ teh tarik ketika kepala runsing dengan kehilangan telefon bimbit. Nasib baik berdua, dapat pinjam untuk membuat panggilan-panggilan penting.

Dalam kesempatan dan masa yang mengizinkan, kami pun layan Fast & Furious 7. Bagi aku kisah dalam f&f7 kali ini kurang menyengat.
Tiada yang menarik, jalan-jalan mengelilingi Bandar sekitar. Terdapat sebuah Volkwagen di bumbung premis jualan kereta. Sesuatu yang unik.

Tidak berapa jelas bangunan di atas. Ini adalah Hypermarket Boulevard. Banyak kedai-kedai ‘gadget’ dalam premis ini.
Tibalah waktu pulang. (Pusat Bandar Miri – Stesen Bas Express) menaiki teksi adalah RM 14.00. Suasana di stesen bas express Miri. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja.

Mari cari tiket. Kami memilih syarikat yang sama kami pergi ke Miri (Borneo Bas) RM70.00 harga tiket daripada Miri – Lubok Antu.

sementara menunggu waktu perjalanan pulang, ronda-ronda dahulu sekitar stesen bas. Terdapat pasar tamu juga di sekitar sini beserta gerai-gerai minuman.

Dalam perjalanan pulang, kami tidur sahaja kecuali berhenti rehat dan buang air. Ini kerana kami pulang pada waktu malam dan kami sampai di Lubok Antu sekitar jam 810 pagi. Itu sahaja dapat aku kongsikan dengan engkorang semua. Kita sambung pada pengembaraan yang berikutnya nanti. Assalammualaikum. J