Pengalaman / Tempat-tempat menarik di Kapit Sarawak

Thursday, 4 September 2014

TERCETUS IDEA

Pada malam 29 Ogos 2014, aku berfikir tentang apakah yang akan aku rancang untuk memenuhi setiap jam dan minit cuti Hari Merdeka tahun ini. Cuti sudah pasti bermula pada 30 hingga 1 September. Ada tiga hari untuk aku penuhi dengan aktiviti setelah lelah bekerja dan perlukan pemandangan yang baru dan unik untuk meningkatkan motivasi dan pengalaman setelah pulang dari mengembara.

Pada malam 29hb Ogos tersebut tepat jam 11.00 malam, aku bertanyakan kepada rakan serumahku Adli yang baharu pulang dari Sibu, Sarawak atas urusan kerja. Aku membuka mulut bertanyakan kepada dia apakah perancangan kita cuti hujung minggu ini. Ada satu hari tambahan cuti (Isnin) kerana 31hb itu jatuh pada hari Ahad. Aku mencadangkan agar kami bersiar-siar sekitar Bandaraya Sibu, Sarawak. Namun respon yang positif telah diterima di mana Adli setuju turut pergi semula ke Sibu kemudian langsung ke Kapit, Sarawak.

BAHAGIAN KAPIT SARAWAK

Kapit adalah salah satu Bahagian dalam Negeri Sarawak yang mempunyai keluasan yang paling besar. Lihat peta di bawah ini.
Bahagian-bahagian di Sarawak

Malam 29hb Ogos itu juga aku berkemas-kemas untuk pergi ke Kapit. Pagi tepat jam 5.00 aku pun bangun dan terus bersiap untuk solat Subuh. Tepat jam 5.30 pagi, aku pun menaiki ‘Alphard Mini’ aku (Kancil 660) ke Sri Aman dari Lubok Antu. Lebih kurang jam 7.00 pagi aku sampai di Sri Aman dan terus ke rumah mertua Ustaz Syaifullah (tok) iaitu rakan sekerja aku di Lubok Antu.



Setelah mertua tok menyediakan sarapan nasi goreng yang enak, kami pun berangkat dengan menggunakan Perodua Alza tok. Lebih kurang jam 1135 pagi kami pun sampai di Sibu. Baharu kali ini aku dapat menghirup udara bandaraya Sibu. Agak sibuk dan padat. Tok menghantar aku ke jeti Sibu. Jeti Sibu ini satu-satunya jalan air untuk ke Kapit. Tiada jalan darat mahupun udara untuk pengguna biasa.
  
JETI SIBU SARAWAK (Sibu - Kapit) 126 km

Pemandangan Jeti Sibu yang mana semua akses ke Kapit 126km, Kanowit 44km, Song 85km, Belaga 280km ++, dan sebagainya melalui jeti ini. Diberitahu bahawa jeti ini akan beroperasi sehingga jam 230 petang sahaja kerana tiada feri akan jalan pada lewat petang. Alasannya telah aku dapati. Perjalanan menaiki feri ke Kapit ini dirintangi oleh balak-balak dan kayu-kayu yang besar di permukaan air sungai. Jadi feri-feri ini akan mengelak daripada merempuh objek-objek tersebut. Pada waktu gelap atau malam, pemandu feri tidak akan dapat melihat objek-objek di permukaan sungai. Maka operasi hanya akan berakhir pada awal petang.

Tiket aku adalah pada jam 1200 tengahari. Maka aku pun bersiap untuk berangkat. Dengan harga tiket sebanyak RM 30.00 (First Class), kami ditempatkan di bahagian depan feri. 'Business Class' (RM 25.00) berada di tengah-tengah bahagian feri manakala 'Standard Class' (RM20.00) berada di bahagian belakang feri yang mana ia dekat dengan enjin yang bising. Lihat di bawah rupa paras feri ke kapit.
Berisan Feri ke Kapit

Tiket 'First Class' pergi ke Kapit (Laris Mass Express) dan borang 'boarding'.

Di Jeti Sibu
Tiket ke Kapit
Iklan gigi Sibu Pasta Pudina












Perjalanan akan bermula Sibu - Kapit 126 km

PERJALANAN KE KAPIT

Seperti yang aku nyatakan, hanya jalan sungai sahaja yang menghubungkan bandar dengan Kapit. Sungai yang dilalui adalah Sungai Rajang. Pernah terjadi fenomena luar biasa di mana Sungai Rajang ini dipenuhi dengan kayu-kayu yang memenuhi permukaan sungai. Maka terputuslah hubungan antara Kapit dengan dunia luar kerana tiada feri atau bot dapat bergerak. Ia diberitakan disebabkan oleh hujan lebat luar biasa yang berlaku di pedalaman bahagian itu dan kemudiannya menyebabkan runtuhnya tanah serta pokok yang tumbang. (Rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Batang_Rajang) Ia juga disebabkan oleh proses pembalakan yang dibuat secara berleluasa dan rakus. Dalam perjalanan kami ke Kapit juga, aku dapat melihat pelbagai aktiviti-aktiviti persekitaran. Sepanjang pergi dan pulang, aku dapat melihat tidak kurang daripada lima 'Badang' iaitu kapal tunda / bot tunda yang kuat menunda muatan balak dan pasir. Memang kelihatan ia sangat sibuk. Mesin pengorek pasir juga kelihatan dua tiga di tengah sungai untuk mengorek pasir. Aku berpendapat bahawa tindakan itu bukan untuk mendalamkan sungai, tetapi mungkin untuk dijual atau digunakan dalam industri. Aku pernah terdengar omong-omong kosong bahawa pasir sungai lebih berkualiti dan mahal berbanding pasir pantai.

First Class Division
Berborak dengan warga Song
Ini kerana mengada-ngada

SAMPAI KE JETI SONG

Lebih kurang 2 jam, feri yang aku naiki telah sampai ke Song. Pengalaman pertama menaiki feri melalui sungai memang tidak dirasai lamanya perjalanan itu. Dengan sungai yang pertama kali aku lihat sebagai 'besar' dan 'luas' seperti laut. Kapal-kapal besar turut melalui sungai tersebut. Memang aku kagum dengan kewujudan sungai seperti ini di Malaysia. Tidak hairanlah bahawa Sungai Rajang diwartakan sebagai sungai yang terpanjang di Malaysia. Sungai Rajang ini mempunyai 563 km panjang. Memang mengagumkan. 

Suasana Pekan Song dari Jeti Song
Setibanya di Song, aku pun menjengahkan kepala keluar untuk melihat pemandangan pekan Song sebelum dimarahi oleh krew feri. Mereka menegur supaya aku tidak mengganggu pergerakan krew-krew lain untuk memunggah barang. Aku akur. Foto di atas itu yang sempat diambil. Aku melihat pejalanan ke Kapit sejauh 41 km lagi. Anggaran tempoh masa yang dijangkakan adalah satu jam. huh!!

SAMPAI DI KAPIT

Tepat jam 3.15 petang, aku pun tiba di Kapit. huh. Macam terformat otak aku kerana menghirup udara dan memandang pandangan yang baharu. Keseronokan hanya diri sendiri yang rasa. Lain daripada yang lain. Walaupun di dalam negara, tetapi ia cukup menakjubkan dan mempunyai keunikan tersendiri. 
Gambar pertama di Jeti Kapit
Di hadapan Majlis Daerah Kapit
Di hadapan Fort Sylvia 1880

Sungai Rajang dari persisir Kapit
Bot Laju / Lumba buatan kayu
(Di tempat aku, ia dibuat daripada fiber)

Satu papan tanda di Kapit yang membuatkan aku berfikir, BELAGA??? adakah mungkin akan aku jejaki??



AKTIVITI PETANG SEMASA BAHARU TIBA DI KAPIT

Setibanya di Kapit, aku tidak tahu untuk mencari restoran atau gerai makanan Islam. Aku pun mencari KFC di sekitar pekan Kapit. Aku memang sudah sedia maklum bahawa di Kapit terdapat KFC oleh rakan-rakan yang bertugas di Kapit. Jadi kami berjalan kaki sekitar pekan Kapit sambil menikmati pemandangan pekan yang sibuk dan meriah ini. Salah satu faktor kepadatan pengunjung ke Kapit pada hari kehadiran kami adalah mungkin disebabkan oleh persediaan Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-57 peringkat negeri Sarawak. Kapit menjadi tuan rumah untuk 2014. Jadi aku datang ke sini bukan sekadar melawat, malah dapat menyambut kemerdekaan juga. :)

Semasa makan di KFC, kami pun mengecas telefon bimbit masing-masing sambil menunggu rakan-rakan yang tinggal di Kapit untuk menjemput. Aku akan tidur di rumah mereka untuk satu malam. Muncullah rakan Adli (seperjuangan di UPSI) iaitu Nizam dan Matyoh untuk menjemput kami di KFC menggunakan motosikal. Aku dibawa bersiar-siar (lihat gambar di atas). Petang itu juga selepas aku 'check-in' rumah kawan baru aku tadi (rakan Adli), Nizam pun bersuara meminta kami bersiap. Katanya ingin membawa kami pergi ke kolam renang Kapit. Kami pun bersiap dan bermandi manda di Kolam. Aduh, keletihan membawa kepada rasa mengantuk selepas pulang daripada berenang. 

AKTIVITI MALAM

Malam itu juga aku mengikut rakan-rakan lain untuk majlis doa selamat di Masjid Jabar Al Nur, Kapit. Majlis itu diadakan untuk berdoa kepada Allah dan bersyukur dengan kemerdekaan yang diperolehi. Majlis itu turut dihadiri oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Yang Di-Pertua Negeri) dan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (Ketua Menteri) Sarawak.

Masjid Jabar Al Nur, Kapit Sarawak
Ole-ole malam merdeka dari masjid
Pemandangan di dalam Masjid Jabar Al Nur Kapit
(sangat cantik dan mengagumkan

Selepas makan malam yang dihidangkan di masjid, kami semua pulang ke rumah tempat kami menumpang. Disebabkan aktiviti petang yang memenatkan, aku rasa layu mata untuk kekal berjaga sehingga kemuncak malam merdeka iaitu jam 12.00 tengah malam. Dengan harapan bahawa terdapat percikan bunga api di dataran Kapit. Namun begitu aku terlepas detik-detik itu kerana tertidur dengan nyenyaknya. Maka aku telah terlepas malam kemuncak kemerdekaan. Aku juga tidak tahu suasana malam di pekan Kapit seperti mana kerana tertidur. Aku ingin menasihati kawan-kawan pengembara bahawa apabila kita mengembara, seharusnya kita perlu kurangkan aktiviti sukan seperti berenang atau sebagainya. Jika percutian itu singkat. Ini kerana apabila kita mulai penat, kita tidak akan dapat menikmati suasana dan persekitaran semasa. Perasaan kita untuk berehat lebih tinggi daripada mengembara kerana belum tentu kita akan sampai lagi tempat itu pada lain-lain masa. Itu antara perkara yang akan aku ambil iktibar dan panduan pada masa akan datang.

HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-57, KAPIT SARAWAK 2014

530 pagi, bunyi penggera telefon bimbit berkokok. Aktiviti pertama yang akan aku jangkakan adalah menghadiri majlis kemerdekaan. Ia berlangsung di Stadium Kapit.
Pemandangan awal pagi Stadium Kapit
Kita bergambar dengan kenderaan rasmi
Ketua Menteri Sarawak
Bersama veteran perang berbangsa Iban
(terima kasih akek)
Aku dan Jalur Gemilang


Sahabat-sahabat Kapit
(cikgu Matyoh dan cikgu Fareez)

Tugu Negara manusia


 

Bergambar kenangan dengan
semua warga (geng) Kapit
dari kiri: Rom, Fareez, Aku, DD, Matyoh dan Adli
SMK Kapit Sarawak














Golongan pelajar Kenyah
Kenangan menemui satu etnik lain di Sarawak


PULANG KE LUBOK ANTU

Tiket aku pulang ke Sibu adalah jam 1230 tengahari. Masa semakin suntuk. Sebelum pulang, aku dibawa oleh rakan-rakanku ke sebuah restoran. Tidak silap aku namanya Restoran Anggerik. Boleh tahan layanan dan juga rasa makannya. Tetapi ada pengalaman yang sedikit pahit semasa membayar makanan yang aku makan. Aku makan roti canai kosong dua keping, kopi tarik satu dan milo ais satu. Semasa membayar, yang aku perasan mereka kira roti canai sekeping RM 2.00. Ya, memang mahal makanan-makanan yang terdapat di Kapit. Tetapi bukan perkara itu yang membuatkan aku berdukacita, akan tetapi ketidak ikhlasan pemilik kedai itu. Semasa aku membayar jumlah yang aku makan RM 10.00 kesemuanya. Rupanya apa yang aku bayar itu telah dibayar oleh Adli. Sedangkan mereka tidak bagitahu yang rakan aku sudah bayar. Sangat tidak jujur peniaga itu. Yang lagi dikesalkan adalah itu adalah kedai orang Islam. Islam sangat melarang dan agama lain juga seperti itu juga. Aku telah perasan semasa bayar bahawa setiap senarai makanan yang sudah bayar telah ditandakan dengan tanda 'betul' termasuk makanan aku. Tetapi orang yang mengira makanan aku itu membuka helaian baharu di belakang kertas tersebut dan kira semula. Semoga mereka insaf dan mencari rezeki dengan berkat. Mudah-mudahan.

Tiket 'Standard Class'
Terminal Jeti Kapit sebelum berlepas

Semasa perjalanan pulang

Marilah pulang ke pangkalan
(Standard Class) - RM 25.00














Masa menaiki feri telah tiba. Feri di sini bergerak tepat pada masanya. Tidak boleh terlambat. Jika terlambat, alamatnya akan tinggallah.

Rasa berat hati ini untuk meninggalkan Kapit. Namun apakan daya, cuti tidak lama. Aku kena 'chow' juga. Namun begitu, pengalaman menghirup udara Kapit yang paling diinginkan. Tidak tahu bila lagi akan aku sampai ke bumi Kapit ini. Rasa hati ingin ke tempat lain pula menimba secebis pengalaman lain dan baru.

Wassalam...