Terpanggil untuk aku menulis perjalanan hidupku sebagai
Anak Gayong. Warisan seni silat Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda
Md. Hashim, cucu kepada Daeng Kuning. http://www.gayong.com.my/index.php/sejarahgayong
Sebelum itu, biar aku nyatakan yang aku adalah anak
gayong di bawah panji PSSGM yang membawa erti PERTUBUHAN SILAT SENI GAYONG
MALAYSIA (No. Pendaftaran: PPM-010-04-09042013).
Wakil gurulatih muda dari negeri Johor, daerah Johor Baharu Gelanggang Permas Jaya. Pengerusi PSSGM Negeri Johor (berbaju merah) Bak, imam gelanggang cikgu Asyikin dan imam gelanggang Syafiq, dan anak2 gayong jb..;)...amacam ada gaya x...kihkih
Biarlah berapa banyak cabang terlahir daripada pelajaran
asal Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman, aku adalah di bawah panji yang telah aku
nyatakan tadi. Namun begitu, sebagai seorang melayu yang mengamalkan seni bela
diri melayu ini, kita semua adalah sama. Walaupun berlainan bunga, buah pukul,
elakan, serangan mahupun berbeza pendapat sekali pun, kita memartabatkan silat
iaitu peninggalan nenek moyang kita juga. Kita bersaudara. Darahmu mengalir
keluar, aku turut merasai kesakitannya. Berpisah dan berpecah, akhirnya
bercantum jua di dalam jiwa.
PENGENALAN
Kisah ini bermula semasa aku menduduki kursus Diploma
Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Teknologi Maklumat dan Komunikasi di
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Aku pun tidak menyangka kenapa
fikiran aku terlintas untuk ingin mempelajari dan mendalami ilmu seni bela diri
melayu (silat). Sedangkan ketika itu aku sudah berusia 28 tahun. Agak janggal
dengan usia yang sedemikian baru mula aktif berlatih silat serta terlibat
dengan pertubuhan atau persatuan. Namun setelah aku berfikir panjang, ianya
mungkin berlaku jika kita imbas kembali zaman ilmu persilatan ini berkembang di
nusantara ketika suatu masa dahulu. Orang Melayu tidak kira berketurunan riau,
jawa, bugis, banjar dan sebagainya mempelajari dan mengamalkan ilmu persilatan.
Ia seolah suatu kemestian dan amalan. Ya, sudah pasti ilmu persilatan itu digunakan
sebagai benteng untuk mempertahankan diri, keluarga dan kampung daripada
serangan musuh.
DISIPLIN
Dengan amalan ini, tidak hairanlah orang-orang dahulu
lebih berdisiplin dan cergas berbanding orang sekarang. Aku tidak menyatakan
kenyataan aku tadi meliputi seluruh lapisan masyarakat. Ia segelintir. Apa yang
aku ingin ertikan adalah orang dahulu yang belajar silat bukan hanya untuk
golongan yang cerdik pandai sahaja. Malah setiap lapisan masyarakat akan turut
mempelajarinya tidak kira lelaki ataupun perempuan. Nilai-nilai kecergasan dan
disiplin itu dapat diterapkan kerana mahu tidak mahu mereka akan belajar silat
kerana bimbang ancaman dan serangan musuh. Itulah agaknya rasa nenek moyang
kita yang hidup di zaman penjajahan. Orang sekarang bukan pula tidak
berdisiplin, secara ringkasnya boleh diertikan seperti penyampaian nilai-nilai
moral hanya di peringkat sekolah yang hanya beberapa jam. Seterusnya tidak
semua orang pula yang menyambung pelajaran ke peringkat professional dan
tinggi. Tiada kesekataan dan tidak bersifat holistik umumnya penerimaan
disiplin kepada golongan-golongan yang disebutkan tadi.
SILAT PENGENYAN (KAMPAR, RIAU)
Tidak ingin berselindung, aku sebenarnya memang telah
diperkenalkan ‘buah pukul’ dalam silat oleh ayahanda aku En. Syaid Kahar.
Ketika itu aku berusia 12 tahun dan aku diajarkan ilmu persilatan melayu secara
tidak formal. Ilmu persilatan ini dikhabarkan oleh ayahandaku bahawa ia adalah
bawaan turun termurun oleh moyangku. Ayahandaku mulai menuntutnya melalui
Almarhum atuk aku, En. Kahar Jantan@Kuntan. Atukku sebelah ayahandaku aku
gelarkan Tok Janggut. Beliaulah yang menurunkan ilmu persilatan keturunanku
kepada ayahandaku walaupun menurut ayahandaku, beliau hanya dapat sedikit
sahaja ilmu itu berbanding adik beradik ayahandaku yang lain. Menurut
ayahandaku, pakcik aku iaitu anak ketiga daripada empat beradik ayahandaku yang
memperoleh ilmu persilatan itu yang paling banyak. Pakcik yang aku sebutkan tadi adalah En. Jasman Kahar. Wallahualam. Aku tidak
bertanya kerana ilmu persilatan yang diperturunkan oleh ayahandaku sendiri
kepadaku belum aku amalkan sepenuhnya. Namun begitu, itulah sedikit sebanyak permulaan aku kepada seni bela diri Melayu.
TOK JANGGUT
Daripada penceritaan ayahandaku, silat yang diperturunkan kepada aku dan adikku ketika masih kecil dahulu dinamakan sebagai Silat Pengenyan. Ia juga dikenali sebagai Silat Pendekar di kepulauan Riau. Almarhum Tok Janggut telah menemui dan mendalami ilmu seni bela diri ini daripada aspek zahir mahupun batin beserta dengan amalan-amalan petua lama. Sedikit sebanyak sumber-sumber itu telah disampaikan secara lisan kepada kami adik beradik oleh ayahandaku. Menurut beliau, Almarhum Tok Janggut memang hebat dalam seni bela diri (Silat) ini semasa masih menetap di kepulauan Riau. Almarhum juga dikhabarkan menjadi rujukan kepada orang-orang yang sakit dan masyarakat yang inginkan khidmat beliau untuk berubat. Pendek kata istillah mudah adalah bomoh atau dukun. Namun begitu, zaman itu menunjukkn bahawa persaingan antara pendekar-pendekar Melayu Riau menunjukkan kekuatan, Almarhum Tok Janggut menerima kesannya apabila diracun dengan cara yang halus (Menurut ayahandaku). Almarhum Tok Janggut jatuh sakit dan tinggal bersama keluarga kami di Kota Tinggi, Johor. Seingat aku, waktu itu aku masih di sekolah rendah (Tahun 90-an). Almarhum Tok Janggut meninggal di Kota Tinggi dan disemadikan di sini bersama-sama atuk perempuan, nenek perempuanku, makcik dan abang saudaraku. Masih lagi aku ingat, sewaktu aku sedang di Tingkatan 1, ayah menjemputku di sekolah. Waktu itu pada tahun 1997 di mana aku bersekolah di SMK Laksamana, Kota Tinggi, Johor. Waktu kecemasan itulah aku diberitahu oleh ayahanda bahawa Tok Janggut sudah meninggal. Apa yang telah diceritakan oleh ayahanda kepada saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga yang datang melawat ketika itu adalah, Almarhum Tok Janggut menghalang pemergian anak-anaknya ke mana sahaja termasuk untuk pergi kerja sebelum pemergian beliau. Aku juga ketika hari itu dihalang oleh Tok Janggut untuk dihantar disekolah oleh ayahandaku. Namun begitu, ayahanda bilang bahawa aku perlu pergi ke sekolah dan menyakinkan Almarhum bahawa tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Jangkaan ayahanda itu meleset sama sekali kerana Almarhum Tok Janggut meninggal pada hari itu juga dan hembusan nafas terakhir beliau disaksikan oleh semua adik beradik ayahanda termasuk ibuku.
"Segayong, Sekendi, Seperigi, Seminum, Sejalan,
Sejadi, Sedarah, Sedaging, Sepadu"
Penulisan ini akan disambung lagi...masih belum lengkap...:P
Penulisan ini akan disambung lagi...masih belum lengkap...:P
4 comments:
keep writing bro. silat needs a academician like you.
thanks for the support my dear sahabat. untuk kenangan jika ada keturunan aku membacanya suatu hari nanti.
Boleh saya minta alamat gelanggang seperti apa yang dinyatakan kerana tempat tinggal saya tidak jauh dari situ dan saya memang mahu mempelajari ilmu silat seni gayong
Assalamualaikum saudara..mengikut penceritaan saudara, rasanya kita sebaya..berada ditingkatan 1 pd tahun 1997..adalah saudara masih bergiat aktif dalam gayung?
Post a Comment