Pengembaraan / Melancong ke bandaraya Miri dari Daerah Lubok Antu, Bahagian Sri Aman.

Saturday, 4 July 2015


Cuti 5 hari bermula 19 Februari – 23 Februari 2015 membuatkan aku memilih bandaraya Miri untuk dilawati. Ia antara impian sebelum aku dapat kembali pulang bertugas di kampung halaman. Setelah setahun berada di Sarawak ini, antara tempat-tempat yang telah dilawati adalah Sibu, Kapit, Kuching, Serian, Bau, Bintulu dan beberapa tempat-tempat kecil yang lain. Kali ini, kita lancar ke utara Sarawak untuk menghirup udara Bandaraya Miri.

 
Cai dan Bujal di hadapan Perhentian Bas Lubok Antu.

Bagi yang asing dengan pekan Lubok Antu (LA), di atas itu aku tunjukkan gambaran ‘busstand’ LA. Kecil sahaja tetapi ia tetap sibuk sebagai tempat tumpuan terutamanya bagi mereka yang hendak ke selatan dan utara Sarawak atau pun ke Badau, Indonesia. Untuk ke Indonesia, tiada bas yang memberikan perkhidmatan itu. Pengunjung atau penumpang yang ingin ke Indonesia hanya akan turun di sini dari utara dan selatan Sarawak dan kemudiannya menaiki kenderaan persendirian untuk masuk ke sempadan / perbatasan Malaysia Indonesia.

Berbalik kepada misi kita untuk ke bandaraya Miri, mari kita lihat bas yang akan aku naiki. Kali ini orang yang akan menemani aku untuk menjelajah Miri adalah Cai. Lihatlah en. Cai bergambar dengan bas Borneo Bas. Harga tiket? Hanya RM70.00 sehala. Jadi pergi dan pulang Lubok Antu ke Miri, Miri ke Lubok Antu adalah RM140.00. Bas yang akan kami naiki ini agak selesa dan tidaklah berasa jauh perjalanan itu. Untuk pengetahuan semua, bas ini akan berhenti di setiap perhentian bas daerah-daerah / bahagian-bahagian utama di Sarawak antara LA – Miri. Antara perhentian bas yang aku ingat ia berhenti adalah perhentian bas Sarikei, Sibu, RNR Selangau, Bintulu, RNR Batu Niah dan Miri. Begitu juga perjalanan pulang.
 
Cai dan Borneo Bus

Perjalanan bas dari LA ke Miri adalah pada jam 900 pagi. Jangkaan sampai ke destinasi adalah pada jam 2000 atau 2100 di malam hari. Lebih kurang 12 jam. Tetapi pemandangan di setiap perjalanan sangat menarik. Terdapat kampung-kampung, rumah panjang, Bandar dan pekan-pekan dan sebagainya.

Kami bertolak tepat jam 900 pagi dan gambar di bawah ini adalah tempat pertama bas yang kami naiki berhenti. Mereka akan membeli makanan minuman dan juga membuang air. J


 
Pemandangan diambil daripada jendela bas.

Saya tidak membeli apa-apa makanan kerana tidak meyakini tahap halalnya. Jadi aku hanya turun untuk ke tandas sahaja.


 

Suasana di Bandar Sibu (kawasan Perhentian Bas Sibu)

Kami sampai di Sibu pada waktu tengah hari. Cuaca cerah dan perut pun lapar. Kami pun turun berkeliaran mencari kedai makanan halal. Berpusing-pusing lalu kembali semula ke kawasan perhentian bas. Terdapat di dalam kedai makanan cina, terdapat 1 gerai makanan Islam. Jadi kami pun menjamu selera di situ. Nasi ayam penyetnya sedap juga. Oleh kerana terlalu lapar, memang semuanya sedap. 30 minit diberikan oleh pemandu bas untuk menjamu selera sebelum meneruskan perjalanan pada kira-kira jam 1330pm.

Kami sampai di Miri kira-kira jam 2100 malam. Kami berhenti di tepi jalan sahaja kerana kawan DPLI UTM aku dahulu mahu menjemput kami. Udara ketika itu berkabus. Rasa kurang selesa dengan udara bandaraya Miri berbanding udara LA.

Lee pun membawa kami bersiar-siar dahulu di bandaraya Miri. Melihat raut wajah Lee yang semakin berisi, maka aku pun menegur dia. Dengan wujudnya kedai-kedai makanan yang pelbagai menyebabkan dia mengembang. Hehe

Mari kita lihat suasana bandaraya Miri dari lensa DSLR aku.

 
Sekitar suasana malam bandaraya Miri

Sejurus kami pergi membeli sedikit barangan di 7-eleven, kami pun mencari kedai-kedai makan untuk disinggahi. Berbunyi sudah perut tidak sabar untuk merasa masakan orang Miri. Dengan kemeriahan yang menjelma dikala malam, semakin meriah jadinya. Kami pun singgah di sebuah kedai  makan. Banyak juga menu disediakan namun aku memilih untuk memesan roti john miri di gerai jualan yang berada dihadapan restoran tersebut.

Hotel baget tempat kami duduki

Untuk tidak melepaskan peluang sementara Lee ada kenderaan bagi membawa kami bersiar-siar di bandaraya Miri ini, aku pun cepat-cepat makan. Setelah selesai, terus aku mempelawa Lee untuk beredar. Lee pun membawa kami ke tempat-tempat yang boleh dilawati ketika waktu malam.  Namun sebelum itu, kami dibawa ke tempat penginapan dahulu. Eloklah kiranya aku dan cai mandi dahulu. Baharu segar sikit. Pusing punyalah pusing semua hotel-hotel sekitarnya penuh. Tropical Inn sahaja yang ada bilik kosong. Mahu tidak mahu, kami ‘check-in’ disini. Namun begitu, bukan bangunan yang dipaparkan di atas itu kami diami, tetapi sebuah lagi blok bangunan bersebelahan bangunan ini. Bedal jela asalkan kami ada tempat untuk menginap. Jika tidak salah, semalam menginap di hotel ini adalah RM60.00.

Setelah mandi, lokasi pertama yang dibawa oleh Lee adalah ‘The Grand Old Lady’. Lokasi ini adalah lokasi penerokaan minyak yang pertama di Malaysia. Mengikut apa yang aku baca, planta minyak tempat ini telah dibina sebelum Malaysia merdeka lagi. Sungguh banyak fakta dapat diperolehi daripada lawatan ke tempat ini kerana banyak menceritakan tentang kisah industri dan pendapatan utama Negara kita iaitu emas hitam.
Bandaraya Miri daripada perspektif Bukit Kanada (Canada Hill)

Aku bersama Lee berlatarbelakangkan bandaraya Miri
‘The Grand Old Lady’ monumen

Mari kita cerita sedikit berkaitan dengan Bukit Kanada ini. Disunting melalui ‘wikipedia’

“"The Grand Old Lady" ialah gelaran bagi Telaga Minyak Miri yang juga telaga terawal ("Oil Well No. 1") di Miri yang kini dijadikan tarikan pelancong terkenal, ditubuhkan pada awal 1900-an kerana sumber minyaknya. Telaga minyak ini terletak di atas Bukit Telaga Minyak, atau dahulunya dipanggil Bukit Kanada (Canada Hill) (mengikut cerita orang tua, suatu ketika dahulu, terdapat seorang kulit putih warga Kanada yang pernah tinggal di sana yang bekerja mencari pekerja tempatan dan asing untuk bekerja di lapangan minyak di sekeliling bukit tersebut). Oil Well No. 1 didirikan oleh Syarikat Shell pada tahun 1910. Setelah enam dekad menghasilkan kira-kira 660,000 tong minyak, akhirnya telaga ini ditutup pada tahun 1972, yang seterusnya diisytiharkan sebagai sebuah monumen kebangsaan.
Sebelum itu, pernah wujud sebuah menara pengawasan berdekatan monumen ini di mana para pengunjung boleh melihat pemandangan bandaraya Miri dengan berlatarkan Laut China Selatan sebagai kaki langitnya (horizon). Menara itu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Muzium Sains Petroleum Miri dan kini diganti dengan platform pemandangan yang disediakan di atas bangunan ini. Muzium ini juga mempunyai tarikan tersendirinya yang menawarkan pelbagai jenis pameran berkaitan dengan industri minyak, sinonim dengan gelaran bandaraya ini, Miri Oil Town (Bandar Minyak).”

Mari lihat lensa DSLR aku persekitaran ‘The Grand Old Lady’
Berhadapan Muzium Petroleum. (Tidak dapat masuk, malam tutup)

Membaca monumen sambil disuluh Lee. :P

Biar orang hendak cakap apa, orang tolak aku tarik, pedulilah…hehe

Telaga Tradisional

Sibuk mentelaah ilmu yang tiada dalam buku teks sekolah. Lapangan-lapangan penggalian minyak di seluruh Malaysia

 “No Caption”

Itu sahaja lawatan aku, cai dan lee di The Grand Old Lady. Kami pun bergerak turun ke Bandar Miri untuk sambung meronda. Walaupun keadaan menunjukkan titisan embun mencair daripada wap kepada cecair, tentu terasa keletihan. Lee juga perlu pulang kerana isterinya tinggal seorang di rumah ditengah-tengah suasana mala mini.

Aku dan cai pun meneruskan penerokaan suasana malam di bandaraya Miri. Habis seluruh pelusuk pusat Bandar Miri aku redahi. Jom lihat aksi-aksi yang jangan ditiru di bawah ini.
 Nama pun malam, pastinya sepi dan tiada kenderaan. Jadi, mari bergambar di tengah-tengah jalan.

Mural di tengah-tengah bandaraya Miri

Sambung terapi telinga sebelum pulang merehatkan diri
Menikmati cahaya-cahaya yang menyinari bandaraya Miri semasa perjalanan pulang ke hotel.

Kami pun mandi dan berehat sementara menunggu hari esok untuk pulang semula ke Lubok Antu. Jauh di lubok hati aku, aku berasa puas kerana telah sampai di bandaraya yang jauhnya mengambil masa lebih 12 jam perjalanan.

Hari kedua kami di bandaraya Miri ini, pastinya terus check out dan bersiar-siar mencari lokasi sarapan yang baik. Pada hari ini, kami tiada pengiring atau pemandu pelancong tempatan. Tiada kawan-kawan aku yang tinggal di Miri dapat menemani kami bersiar-siar atas masalah-masalah tertentu. Kami yang tiada kenderaan semestinya sedikit terbantut. Aku ingin menjejakkan kaki ke Gua Niah yang semestinya tempat mesti dilawati jika melancong ke Miri. Namun atas faktor ‘transport’ kami pun ronda-ronda kawasan sekitar sahaja.
Sekitar kawasan inilah (parkson) tempat kami berpusing-pusing seharian sementara menunggu waktu pulang.

Atas nasihat warga tempatan, inilah tempat aku dan cai bersarapan. Rasanya boleh tahan lah. Asalkan kenyang je. J
Nikmatnya dan tenangnya ‘kena’ teh tarik ketika kepala runsing dengan kehilangan telefon bimbit. Nasib baik berdua, dapat pinjam untuk membuat panggilan-panggilan penting.

Dalam kesempatan dan masa yang mengizinkan, kami pun layan Fast & Furious 7. Bagi aku kisah dalam f&f7 kali ini kurang menyengat.
Tiada yang menarik, jalan-jalan mengelilingi Bandar sekitar. Terdapat sebuah Volkwagen di bumbung premis jualan kereta. Sesuatu yang unik.

Tidak berapa jelas bangunan di atas. Ini adalah Hypermarket Boulevard. Banyak kedai-kedai ‘gadget’ dalam premis ini.
Tibalah waktu pulang. (Pusat Bandar Miri – Stesen Bas Express) menaiki teksi adalah RM 14.00. Suasana di stesen bas express Miri. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja.

Mari cari tiket. Kami memilih syarikat yang sama kami pergi ke Miri (Borneo Bas) RM70.00 harga tiket daripada Miri – Lubok Antu.

sementara menunggu waktu perjalanan pulang, ronda-ronda dahulu sekitar stesen bas. Terdapat pasar tamu juga di sekitar sini beserta gerai-gerai minuman.

Dalam perjalanan pulang, kami tidur sahaja kecuali berhenti rehat dan buang air. Ini kerana kami pulang pada waktu malam dan kami sampai di Lubok Antu sekitar jam 810 pagi. Itu sahaja dapat aku kongsikan dengan engkorang semua. Kita sambung pada pengembaraan yang berikutnya nanti. Assalammualaikum. J