Cuti Hari Pekerja, 1 Mei 2016 jatuh pada hari Ahad. Maka, cuti itu dianjakkan ke hari Isnin. Jadi, bermulalah kisah pengembaraan ini. Lama sudah rasanya tidak mengemaskini pengalaman dalam blog ini. Walau hakikatnya banyak yang aku lalui dan pelajari. Nantilah akan aku coretkan untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman lain satu persatu.
Pengembaraan 2 hari ini bermula pada hari Sabtu 30 April 2016. Pada hari itu, perancangan awal aku adalah mengikuti seorang sahabat berbangsa Bidayuh untuk ke hulu Batang Ai. Objektif utama adalah memburu rusa. Namun di sebabkan oleh hujan lebat membadai bumi Lubok Antu, aku mengambil keputusan untuk tidak turut serta. (Sebenarnya terlalu sejuk jika di ulu dan airnya mesti deras). Jangkaan. Panas khabarnya di ulu.
Perancangan aku untuk mengisi masa cuti ini adalah menjelajah dan menimba pengalaman menggunakan feri untuk melintasi beberapa sungai yang besar di Sarawak. Antaranya adalah Batang Saribas, Batang Lupar, Batang Sadong dan Batang dan Sungai Sabang. Jangan pelik dengan perkataan Batang itu. Itu adalah seperti istillah Sungai di Sarawak.
Lihat pelan perjalanan di bawah ini. Itulah yang aku akan lalui bersama dengan sahabat iaitu Cai dan Masri. Laluan garisan merah di dalam kotak kuning itu adalah laluan yang kami jelajahi.
Rajah 1: Pelan Pengembaraan
Tepat jam 0700, si Cai ini pula lambat. Apa-apa perancangan pun memang aku suka laksanakan awal atau sampai lebih awal. Supaya ada la masa untuk berehat dan santai. 0720 muncul Yamaha LC merah ber 'sport rim' putih. Haa, tanpa membuang masa, kami pun meluncur ke Bandar Sri Aman. Kali ini perjalanan kami akan menggunakan Kancil 660 aku sahaja. Aku yakin dengan mesin kancil kali ini sebab baharu sahaja lepas menukar banyak bahagian enjin yang rosak. Alternator, Radiator, Belting, Contact Point dan apa-apa lagi nama bahagiannya.
Sampai di Sri Aman, kami bersarapan dan menunggu rakan seorang lagi (Masri) untuk bersama-sama kami. Untuk kali kedua si Masri ini akan lalui jalan pengembaraan ini. Dalam lingkungan 0930 kami pun mula menuju ke Pusa. Sebuah Pekan kecil di Bahagian Betong, Sarawak.
Rajah 2: Sampai di Pusa, Bahagian Betong, Sarawak
Persinggahan kami di Pusa tidak lama. Selepas satu pusingan di kawasan pekan ini, kami terus ke pangkalan / jeti Pusa ke Taman Negara Maludam. Kami akan melintas Batang Saribas bersama-sama Alphard Mini (kancil) aku.
Rajah 3: Suasana menaiki kapal pengangkut melintasi Batang Saribas.
Perjalanan melintasi Batang Saribas ini tidak lama. Lebih kurang dalam 10-15 minit sahaja. Tidak terfikir untuk mencatatkan tempoh perjalanannya. Maaf ya. Pengalaman pertama agak mengujakan. Juga memeranjatkan adalah harga tiket mengangkut kenderaan. Hanya RM1.00 sahaja untuk kereta, motosikal dan orang tanpa kenderaan adalah PERCUMA.
Setibanya di Maludam, kami meneruskan perjalanan untuk melintasi sungai terlebar di Sarawak iaitu Batang Lupar. Suasana di Maludam adalah seperti suasana kampung-kampung. Menurut sumber, majoriti penduduk di sini adalah penduduk berketurunan Melayu. Selain itu, kelihatan struktur tanah di tepi-tepi jalan adalah tanah gambut / tanah delta. Mungkin kerana itu, struktur jalan dari tebing kami turun hingga ke tepian Batang Lupar adalah berombak. Namun begitu, sepanjang perjalanan itu adalah melalui jalan yang berturap.
Rajah 4: Setibanya di simpang Taman Negara Maludam.
Kami bernasib baik kerana tiada pun waktu menunggu untuk menyeberangi sungai akibat banyak kenderaan yang mahu menyeberang. Setibanya ke tebing, mesti akan terus masuk ke atas kapal.
Rajah 5: Menyeberangi Batang Lupar.
Bagaikan lautan, itulah istillah yang aku gunakan sebaik sahaja menikmati keindahan luas dan lebarnya sungai ini. Sungguh menakjubkan ciptaan Allah SWT. Belum termasuk ciptaan Yang Maha Kuasa di ulu-ulu sungai, di hutan-hutan belantara. Tidak tercapai akal aku kadang-kadang. Kelihatan haiwan sungai yang timbul dan tenggelam serta melompat di permukaan air sungai, namun aku dan Masri tidak dapat mengenalpasti haiwan apakah itu. Berwarna hitam pekat, panjang dan lincah. Sampai hari ini aku masih mencari jawapan. BUAYA??? pasti ada di sini!!!!
Seterusnya kami terus ke tebing sungai untuk melintas Batang Sadong pula untuk ke Asajaya.
Rajah 7: Kapal pengangkut kenderaan berlatarbelakangkan Jambatan Batang Sadong.
Rupa kapal yang membawa kenderaan dari pandangan tepi. Menurut papan tanda projek, jambatan ini akan dapat digunakan pada Julai 2016.
Rajah 6: Pekan Asajaya.
Setibanya di tebing sungai Asajaya ini untuk ke Kota Samarahan, kami tidak dapat meneruskan perjalanan menyeberangi Sungai Sabang. Ini kerana kami tiba di situ pada waktu petang. Ketika itu air sungai surut. Maka kami terpaksa mengikut jalan darat (jauh) untuk ke Kota Samarahan. Tamatlah penjelajahan kami kerana apabila berada di Samarahan, kami lanjur ke bandaraya Kuching, makan malam di tempat kegemaran aku (nasi kambing seberang sungai sarawak) (Barok Village) dan selepas itu, kami terus pulang ke Sri Aman. Sekian.